Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) merupakan satu gerakan menyeluruh yang digariskan untuk memperkasakan perkhidmatan awam agar menjadi lebih pantas, mesra rakyat, dan berjiwa rakyat. Kerangka ARPA distrukturkan di atas 5 Teras utama dan disokong oleh 20 Strategi Keberhasilan Reformasi (SKR), yang kemudiannya diterjemahkan kepada pembentukan inisiatif di pelbagai peringkat. Objektif utama ARPA adalah untuk memperkukuh budaya integriti dan penghayatan nilai murni, membangunkan modal insan yang kompeten dan berdaya saing, menstruktur semula organisasi ke arah yang lebih cekap dan responsif, menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan, serta mengukuhkan kerjasama strategik antara sektor awam, swasta, dan komuniti. Melalui pendekatan berasaskan nilai integriti, inovasi, dan kolaborasi, ARPA menggerakkan transformasi ke arah sistem penyampaian yang bukan sekadar efisien, tetapi benar-benar memberi makna dalam kehidupan rakyat, menjadikannya satu "Reformasi Satu Kemestian".




