Kemaman, 1 Oktober 2025 – Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sekali lagi meneruskan komitmen memperkasa generasi muda melalui pelaksanaan Program FITYAH Terengganu (FATEH): TAKLIF yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, Kemaman.
Program ini menghimpunkan pelajar Tingkatan 3 bersama ibu bapa dalam usaha memberi kefahaman mendalam tentang taklif syarie yang dipikul selepas baligh. Antara pengisian utama termasuk kesedaran mengenai dosa dan pahala, halal dan haram, serta peranan remaja sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.
YBrs. Tuan Haji Abd Ghafar bin Mamat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan, Inovasi & Korporat YPKT, ketika menyampaikan ceramah menegaskan bahawa pembentukan akhlak sejak usia remaja adalah asas kepada pembangunan masyarakat Islam yang berdaya saing.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Encik Zaidi bin Lambak, Yang Dipertua PIBG SMK Geliga, dengan kehadiran Tuan Haji Shamsul bin Salim, Pengetua SMK Geliga.





