KUALA TERENGGANU, 3 Oktober 2026 – Seramai 26 pasangan suami isteri menyertai Program Pasca Perkahwinan “2nd Honeymoon” anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga dan Komuniti yang berlangsung selama dua hari satu malam, bermula 2 hingga 3 Oktober 2026 di The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu.
Program ini menghimpunkan pasangan yang telah mendirikan rumah tangga dalam tempoh kurang setahun sehingga melebihi 30 tahun, sebagai inisiatif memperkukuh hubungan suami isteri, meningkatkan kefahaman dalam pengurusan keluarga serta memupuk komunikasi yang lebih berkesan dalam kehidupan berumah tangga.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti dan pengisian, antaranya Cakna Pasangan, Komunikasi Keintiman Suami Isteri, Candle Light Dinner, sesi Ikrar Cinta serta slot Pengurusan Kewangan Keluarga yang menekankan kepentingan pengurusan kewangan secara sistematik demi kesejahteraan institusi keluarga.
Pengisian program dikendalikan oleh YBrs. Tuan Haji Nazri bin Yusoff, Timbalan Pengarah (Program) YPKT dan Tuan Haji Abd Ghafar bin Mamat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan, Inovasi dan Korporat YPKT.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh YBrs. En. Wan Muhd Masyhum bin Wan Harujan, Pengarah YPKT, yang turut mengikuti keseluruhan perjalanan program dari awal hingga akhir.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan YPKT dalam menyokong agenda Kerajaan Negeri Terengganu untuk memperkukuh institusi keluarga melalui inisiatif pembangunan kekeluargaan yang berimpak tinggi dan berterusan, selaras dengan aspirasi melahirkan keluarga bahagia dan sejahtera.
















