DUNGUN, 5 Mei 2026 – Seramai 40 orang peserta terdiri daripada ibu tunggal di Parlimen Kemaman dan Dungun telah menyertai Program Bimbingan Pengukuhan Keluarga Tunggal yang diadakan di Dewan Perpustakaan Awam Dungun, hari ini.
Program ini dianjurkan bagi memperkasa kebajikan serta meningkatkan kesejahteraan emosi dalam kalangan ibu tunggal, selaras dengan usaha memperkukuh institusi keluarga. Pengisian program memberi penekanan kepada aspek pembangunan kendiri dan keupayaan mengurus cabaran kehidupan seharian.
Penceramah jemputan, YBhg. Dato’ Dr. Ridzuan bin Mohd Sagir, telah menyampaikan slot bimbingan yang merangkumi teknik pengurusan emosi dan tekanan, strategi membina semangat kendiri serta pendekatan meningkatkan keyakinan dalam mendidik anak-anak ke arah masa depan yang lebih terjamin.
Turut hadir ialah En. Wan Zakaria bin Wan Mamat, Pegawai YPK Kawasan Dungun dan Puan Wan Nurhidayatie binti Wan Muhammad, Pegawai YPK Kawasan Kemaman yang bersama-sama menyokong pelaksanaan program tersebut.







