Dungun, 3 September 2025 – Program FITYAH Terengganu (FATEH): TAKLIF, anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang, Dungun. Program ini melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan 3 bersama ibu bapa masing-masing.
Inisiatif ini bertujuan memberi kesedaran kepada remaja tentang tanggungjawab mereka sebagai khalifah serta pewaris nilai-nilai Islam di bumi Terengganu. Pengisian utama memberi tumpuan kepada pemahaman tentang amanah yang dipikul selepas mencapai usia baligh, khususnya berkaitan dosa dan pahala, serta batasan halal dan haram dalam kehidupan seharian.
Ceramah utama telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Abd Ghafar bin Mamat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan, Inovasi & Korporat YPKT, yang menekankan peri pentingnya pembentukan akhlak dan kefahaman agama sejak remaja.
Melalui pendekatan bersepadu melibatkan ibu bapa, program ini diharap dapat memperkukuh jati diri pelajar sebagai Muslim yang sedar dan bertanggungjawab terhadap taklif syarie yang dipertanggungjawabkan kepada mereka selepas baligh.
Turut hadir merasmikan program ini adalah Ybhg. Haji Alias bin Harun, YDP PIBG SMK Agama Kuala Abang.
#ypktLI
#keluargabahagiahidupsejahtera
#TerengganuMajuBerkatSejahtera
#ypktLI
#keluargabahagiahidupsejahtera
#TerengganuMajuBerkatSejahtera







