KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Program Pertandingan Story Telling TASKA Permata Keluarga (TPK) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Peringkat Negeri Terengganu telah berlangsung meriah di Dewan Kompleks Ibu Tunggal YPKT, di sini hari ini.
Bertemakan sirah para nabi, pertandingan ini memberi peluang kepada peserta cilik berusia tiga hingga empat tahun mempersembahkan kebolehan bercerita dengan penuh penghayatan. Ia bukan sahaja menguji daya ingatan dan kreativiti, malah menjadi medium penting membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan keberanian di pentas umum.
Pertandingan telah dimenangi oleh TPK Majlis Daerah Dungun selaku juara, diikuti TPK Kuala Terengganu sebagai naib juara dan TPK Desa Permai, Marang di tempat ketiga.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Program YPKT, YBrs. Tuan Haji Nazri bin Yusoff. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak YPKT, YBrs. Tuan Haji Mohd Fauzy bin Abd Ghani dan pegawai-pegawai YPKT Kawasan.









