Kuala Terengganu, 5 Januari 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menyerahkan bantuan berjumlah RM199,725 kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi menyelesaikan hutang sewa rumah asnaf di tiga Desa Keluarga (Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu) di bawah kelolaan YPKT.
Majlis penyerahan diadakan di Seri Iman, kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPKT 1/2025. Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YB Dato' Nara Setia, kepada Pengarah YPKT, En. Ahmad Faris bin Abdul Razak, dengan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, YB Dato' Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham; Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, YBhg. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan; dan Sahibus Samahah Al-Mufti Negeri Terengganu, YBhg. Prof. Madya Dato' Dr. Haji Mohamad Sabri bin Haron.
Bantuan ini mencerminkan komitmen MAIDAM dalam memperkukuhkan kebajikan asnaf serta mempererat kerjasama dengan YPKT bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.