Malay Chinese (Traditional) English
 
Arkib Berita

Arkib Berita (175)

Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri serta persekutuan dan badan-badan berkanun di Terengganu diminta mengikuti peraturan perkabungan sebagai tanda berdukacita atas kemangkatan Tengku Ampuan Intan Zaharah Almarhum Tengku Setia Raja.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda berkata, dalam tempoh perkabungan 40 hari bermula hari ini hingga 4 Mac itu, pegawai dan kakitangan lelaki Melayu diminta memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci bagi menghormati perkabungan itu.

“Manakala peraturan pemakaian bagi kakitangan wanita Melayu pula berselindang atau berkain tudung berwarna putih,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.

Osman berkata, bagi pegawai dan kakitangan bangsa lain, mereka dikehendaki bertali leher hitam atau lilitan lengan hitam di sebelah kanan (bagi lelaki) dan lilitan lengan hitam bagi wanita.

Katanya, polis dan tentera pula dikehendaki menurut cara pemakaian yang telah ditetapkan oleh peraturan pakaian jabatan masing-masing.

“Kita juga harap orang ramai di Terengganu turut sama berkabung dengan memakai songkok berlilit kain putih bagi lelaki Melayu dan lilitan lengan hitam bagi bukan Melayu,” katanya.

Osman berkata, segala perhimpunan ramai dan majlis-majlis atau acara-acara anjuran kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan adalah dilarang diadakan di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh itu.

Bagaimanapun, katanya majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah adalah dibenarkan.

“Bendera juga hendaklah dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan atau separuh kerajaan, bangunan perniagaan dan kediaman di Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, Osman berkata, jenazah almarhum akan tiba kira-kira pukul 10 pagi esok di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan dibawa ke Istana Maziah.

“Bagi rakyat jelata, waktu melawat adalah bermula pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari manakala bagi orang kenamaan,ia bermula 12 tengah hari sehingga 1 petang.

“Solat jenazah akan dilakukan selepas Solat Zuhur dan almarhum akan dikebumikan di Makam DiRaja Masjid Abidin,” jelas beliau.

Bagi yang ingin menziarahi katanya, pakaian untuk lelaki muslim hendaklah berbaju melayu hitam, samping hitam kosong dan songkok hitam dililitkan dengan riben putih (1 inci) manakala bagi yang bukan muslim bersuit hitam dan riben putih dililitkan di sebelah kanan lengan baju.

“Bagi wanita pula hendaklah berpakaian baju kurung dan tudung berwarna hitam,” katanya.

Misi Kemanusiaan `Luar Biasa’ Berlepas Ke Kelantan
12 January
2015
Written by:
Published in: Arkib Berita

Tarikh : 8 Januari, 2015
Tempat : Perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus

Misi kemanusiaan di Kelantan anjuran Kerajaan Terengganu mendapat sambutan luar biasa apabila penyertaan sukarelawan meningkat kepada 1,500 orang berbanding 1,000 orang yang diuar-uarkan sebelum ini, dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan yang menaiki hampir 100 buah kenderaan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, misi itu berjaya mewujudkan muafakat di kalangan peserta untuk menjadi anggota sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

“Kita dapat lihat hari ini apabila semua pihak dari badan bukan kerajaan, badan swasta, kontraktor-kontraktor sama-sama bermuafakat dalam memberi sumbangan seperti menyediakan pengangkutan bas dan jentera-jentera berat secara percuma.

“Semalam kita telah menghantar 60 tan kayu dan peralatan untuk pembinaan yang diterima ke Dabong, Kuala Krai bagi pembinaan rumah sementara di sana untuk mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelepasan Skuad Sukarelawan TTB ke Kelantan di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mohamad Kamil Othman,

Ahmad Razif berkata, pihaknya akan menjayakan hasrat untuk membangunkan beberapa unit rumah transit kepada mangsa sepanjang dua hari berkampung di Dabong nanti.

“Sebanyak 21 buah rumah transit akan dibina di Dabong untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir yang telah mengalami kemusnahan kediaman mereka.

“Seramai 100 orang tukang rumah disediakan untuk menyiapkan rumah transit tersebut yang boleh siap dalam tempoh tiga hari dan pagi tadi seramai 40 orang telah bertolak ke sana termasuk tiga daripadanya penyelia projek,” katanya.

Tambahnya, melalui misi tersebut, beliau dapat melihat persefahaman yang tinggi di kalangan rakyat Terengganu kerana saling bergandingan untuk menyalurkan bantuan sama ada dari aspek tenaga mahupun sumbangan barangan keperluan serta wang ringgit.

“Walaupun kita sendiri mendapat ujian bencana yang agak teruk, tetapi di sebalik itu kita dapat melihat ada persepakatan dan persefahaman yang tinggi di kalangan rakyat Terengganu dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang lebih teruk terjejas seperti apa yang berlaku di Kelantan,” katanya.

Sumber :

http://teganukita.my/

MALAM CINTA ALLAH & RASUL
05 January
2015
Written by:
Published in: Arkib Berita

MALAM CINTA ALLAH & RASUL SEMPENA MAULIDUR RASUL
Malam Cinta Allah & Rasul ini telah diadakan di Masjid Sultan Ismail, Chendering Kuala Terengganu pada 3 Januari, 2015 ( Sabtu ). Program ini dimulakan dengan solat magrib secara berjemaah, diikuti dengan bacaan yaasin, tahlil, solat isyak dan solat hajat berjemaah, dan di akhiri dengan selawat (bersama Kumpulan Al-Hidayah) dan tazkirah bersama YBhg. Ust. Mustaffa Kamal Hamzah.

PERTANDINGAN MEWARNA HURUF JAWI KANAK-KANAK TASKA
31 December
2014
Written by:
Published in: Arkib Berita

PERTANDINGAN MEWARNA HURUF JAWI KANAK-KANAK TASKA (3-4 TAHUN)
SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1436H / 2015M

Pada 29 Disember, 2014 telah berlangsungnya Pertandingan Mewarna Huruf Jawi Kanak-kanak TASKA (3-4 Tahun) Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1436H / 2015M. Pertandingan yang berjaya diadakan di Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ini telah melibatkan kira-kira 100 orang kanak-kanak daripada TASKA Permata Keluarga (TPK) Batu Buruk, TPK Che Kundur, TPK Kg. Panji, TPK Bukit Bayas, TPK Durian Burong, TPK Permint Jaya, TPK Desa Chendering, TPK Kuala Terengganu, TASKA Ummu Maisara, TASKA Cahaya Warisan, TASKA Genius Annasuha, TASKA Mumtaz Iman dan juga TASKA Cilik Bistari Ibai.

Pemenang Ketiga : Adik Muhammad Aqeff Iqbal b. Muhamad Fahmi ( TPK Batu Burok )

Pemenang Kedua : Adik Nur Arissa Irdina binti Mohd Aidil ( TASKA Kg. Che Kundur )

Pemenang Pertama : Adik As'syifa Zuhairah binti Zaizul Imran ( TASKA Ummu Maisara )

PELUANG PEKERJAAN!!!!....

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu memerlukan wanita-wanita yang komited, berintegriti, cekap dan bersedia untuk menerima latihan dan bekerja sebagai HOME MANAGER ( PENGURUS KEDIAMAN). Pendapatan bulanan di antara RM 900.00 hingga RM 1,500.00 ditawarkan kepada mereka yang layak. Jika anda berminat, sila hadiri sesi Taklimat dan Temuduga Terbuka sebagaimana berikut :-

Tarikh : 8 Januari, 2015 ( Khamis )
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu,
Jalan Sultan Omar, 20300 Kuala Terengganu.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi kami di talian 09-6249355 / 57 / 58

sambungan 156 / 171 ( Pn. Zaiton / Pn. Alawiah )

Program Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon-Permai Inn Hotel
24 December
2014
Written by:
Published in: Arkib Berita

Program Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon Smartstart ini telah dilangsungkan pada 18 hingga 20 Disember, 2014 lalu bertempat di Permai Inn Hotel, Kuala Terengganu. Program anjuran bersama LPPKN ini telah dihadiri 28 pasangan suami isteri yang hadir dari seluruh daerah di negeri Terengganu.

Sepanjang 3 hari 2 malam program ini dijalankan, para peserta telah melalui pelbagai bengkel antaranya Bengkel Suai Mesra dan Cakna Pasangan, Candle Light Dinner dan lain-lain lagi. Program ini adalah bagi meningkatkan penguasaan ilmu kekeluargaan, pengurusan minda dan emosi serta sikap positif ke arah memantapkan dan meningkatkan hubungan suami isteri.

Selain daripada itu, program ini juga dapat memupuk sikap kecaknaan, ambil berat dan sikap keperihatinan yang tinggi terhadap kehendak dan keperluan pasangan dan ahli keluarga untuk meningkatkan perhubungan dan kemesraan yang berterusan.

 

Program Pembangunan Modal Insan
15 December
2014
Written by:
Published in: Arkib Berita

Program Pembangunan Modal Insan "Wanita Solehah, Keluarga Sakinah" anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dgn kerjasama Majlis Daerah Marang ini telah berjaya diadakan pada 14 Disember, 2014 bertempat di Dewan Majlis Daerah Marang. Program ini telah disampaikan oleh penceramah tersohor iaitu YBhg. Profesor Dr. Muhaya binti Mohamad dan dirasmikan oleh YBhg. Tuan Hj. Mohd Fauzy bin Abd. Ghani, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Keluarga dan juga selaku wakil kepada YBhg. Pengarah YPKT.

Penglibatan Ibu Bapa Penting Dalam Membantu Perkembangan Anak-Anak
03 December
2014
Written by:
Published in: Arkib Berita

Penglibatan Ibu Bapa Penting Dalam Membantu Perkembangan Anak-Anak
22 November, 2014
Dewan Konvensyen,
Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu

Penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya di peringkat awal sangat penting dan ia membawa perubahan yang ketara dalam perkembangan dan kejayaan seseorang kanak-kanak.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zubir Embong berkata, para ibu bapa tidak boleh hanya mengharapkan tenaga pengajar di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) sahaja untuk mendidik anak mereka, sebaliknya perlu tahu apa yang diajar dan dipelajari oleh anak-anak setiap hari.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak ambil mudah mengenai pendidikan di Terengganu termasuk pendidikan di peringkat perkembangan awal kanak-kanak.

“Di samping mementingkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak, di Taska Permata di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) umpamanya, pelbagai bengkel dan kursus dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui YPKT untuk ibu bapa bagi memastikan mereka lebih memahami anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Hafaz Muqaddam Taska Permata Keluarga Terengganu, di Dewan Kovensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Pada majlis tersebut, seramai 911 kanak-kanak berumur empat tahun Taska Permata Keluarga (TPK) di negeri ini diraikan setelah berjaya menghafaz 23 surah lazim.

Sementara itu, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini yang mengambil kanak-kanak tiga dan empat tahun, pihaknya hanya memilih kanak-kanak berusia empat tahun sahaja untuk menyertai program hafaz muqaddam tahun ini.

“Ia bertujuan untuk memberi lebih pendedahan kepada kanak-kanak yang akan menamatkan pembelajaran di peringkat taska dan melangkah ke peringkat yang seterusnya dengan lebih mudah kerana telah dibekalkan kemahiran asas dalam bacaan surah-surah lazim,” ujarnya.

Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon
02 December
2014
Written by:
Published in: Arkib Berita

Program Pasca Perkahwinan 2nd Honeymoon Smartstart ini telah dilangsungkan pada 25 hingga 27 November, 2014 lalu bertempat di Heritage Hotel, Cameron Highlands. Program anjuran bersama Pejabat SUK Negeri Terengganu, YPKT dan LPPKN ini telah dihadiri 29 pasangan suami isteri yang rata-ratanya terdiri daripada penjawat awam negeri Terengganu.

Sepanjang 3 hari 2 malam program ini dijalankan, para peserta telah melalui pelbagai bengkel antaranya Bengkel Suai Mesra dan Cakna Pasangan, Candle Light Dinner dan lain-lain lagi. Program ini adalah bagi meningkatkan penguasaan ilmu kekeluargaan, pengurusan minda dan emosi serta sikap positif ke arah memantapkan dan meningkatkan hubungan suami isteri.

Selain daripada itu, program ini juga dapat memupuk sikap kecaknaan, ambil berat dan sikap keperihatinan yang tinggi terhadap kehendak dan keperluan pasangan dan ahli keluarga untuk meningkatkan perhubungan dan kemesraan yang berterusan.

Warga YPKT Terima Anugerah Khidmat Cemerlang
25 November
2014
Written by:
Published in: Arkib Berita

47 Warga YPKT Terima Anugerah Khidmat Cemerlang

Tarikh : 20 November, 2014
Tempat : Dewan Utama, YPKT

Seramai 47 pegawai dan kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menerima Anugerah Sijil Khidmat Cemerlang jabatan itu berdasarkan prestasi yang dinilai sepanjang tahun 2013.
Anugerah tersebut disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Utama, YPKT, hari ini.
Menurut Dato’ Mazlan, penganugerahan tersebut sebagai menghargai pengorbanan dan segala usaha yang telah dilakukan oleh kakitangan YKPT dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Katanya, setiap anggota kerajaan hendaklah membuat anjakan paradigma untuk menerima perubahan dan berusaha melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai bagi meningkatkan lagi kualiti kerja.
“Kita harus sedar bahawa kualiti kerja yang dicari itu bukanlah satu keadaan yang statik malah akan terus berubah dengan lebih pesat pada masa hadapan.
“Justeru, apabila kita mencapai kualiti yang menjadi matlamat kita, kita tidak seharusnya cepat berpuashati,” ujarnya kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan majlis penyampaian anugerah sijil perkhidmatan cemerlang tersebut.

Turut hadir, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.
Katanya, kejayaan sesebuah jabatan itu bukan sekadar bergantung kepada prestasi kecemerlangan segelintir kakitangan sahaja tetapi penyertaan dan sokongan padu daripada seluruh anggotanya.
“Justeru, semua warga YPKT diharap dapat memberi sumbangan yang maksimum dalam meningkatkan nama baik jabatan sekali gus dapat mencapai visi, misi dan objektif jabatan,” ujarnya.
Dato’ Mazlan berkata, anugerah tersebut juga diharap menjadi pemangkin kepada warga YPKT yang telah menunjukkan prestasi kerja yang baik dan kakitangan lain untuk berusaha lebih gigih dan memberi perkhidmatan lebih cemerlang pada masa depan.

Sumber : Teganu Kita

Layouts
Colors