| Majlis Perasmian Pembukaan Kelas Jahitan Komuniti Dun Alor Limbat |
|
|
|
|
MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN KELAS JAHITAN KOMUNITI DUN ALOR LIMBAT Permodalan YPK Sdn. Bhd. adalah merupakan sebuah anak syarikat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang menjalankan aktiviti memberi latihan kemahiran khususnya dalam bidang jahitan kepada masyarakat di Negeri Terengganu. Bagi memberikan perkhidmatannya kepada rakyat, pihak Permodalan YPK Sdn. Bhd. telah mengadakan kelas-kelas seperti Kelas Jahitan Komuniti di setiap Dun, iaitu sebanyak 32 kelas. Ini adalah merupakan satu program usahasama antara Permodalan YPK dengan Pejabat Penyelaras Dun di seluruh negeri. Sepanjang pembukaan kelas jahitan komuniti ini, seramai hampir 4,000 orang telah mengikuti kelas ini diseluruh negeri Terengganu. Pada majlis kali ini,, satu pengiktirafan telah dibuat bagi menghargai peserta yang telah tamat latihan selama empat bulan yang lalu dengan penyampaian sijil tamat latihan kepada 22 orang meliputi sesi ketujuh dan juga kelapan.Majlis ini telah diadakan pada 7 Mac,2010 yang lalu bertempat di Dewan Seri Rawai, Kampung Rawai, Alor Limbat, Bukit Payung. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Alias bin Abdullah, ADUN kawasan Alor Limbat. Dipetik dari ucapan beliau, masyarakat perlu mengambil peluang mempelajari kemahiran ini bagi memajukan diri serta keluarga. Ini dapat membuka peluang kepada masyarakat menikmati kemajuan dan pembangunan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri. Banyak perkara dapat dilaksanakan dengan adanya kemahiran ini selain dari menjahit pakaian sendiri contohnya golongan surirumah dapat menjimatkan wang pebelanjaan bagi membuat pakaian sendiri mahupun keluarga selain itu dapat juga menambah pendapatan dengan menerima tempahan jahitan dari luar. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Permodalan YPK Sdn. Bhd. khususnya dan pihak Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu amnya kerana perihatin terhadap rakyat melalui program memberi kemahiran kepada masyarakat khususnya dalam bidang jahitan. Pengurus Permodalan YPK Sdn. Bhd, Tuan Haji Abd Ghafar Bin Mamat. melalui ucapannya memberitahu bahawa jika terdapat permintaan yang tinggi, tiada masalah bagi pihak Permodalan untuk membuka satu pusat pengeluaran di Kelas Jahitan Komuniti ini. Jika peserta menunjukan minat yang tinggi untuk maju dan permintaan untuk tempahan pakaian, segala urusan penambahan peralatan dan mesin boleh dilaksanakan. Ini adalah kerana beliau melihat prospek yang tinggi dan bidang pakaian ini adalah merupakan satu bidang yang menjadi keperluan pada masa sekarang. Majlis ini dapat dijadikan batu loncatan kepada Permodalan YPK Sdn. Bhd. dalam memajukan serta mengembangkan lagi skop bidang yang dilaksanakan agar dapat pergi lebih jauh di masa akan datang selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang ingin mengurangkan pergantungan rakyat terhadap subsidi dan bantuan kerajaan melalui peluang-peluang kerja yang dapat diwujudkan juga dapat mengurangkan kadar kemiskinan di dalam negeri Terengganu ini. Hadir sama dalam majlis ini adalah En. Roslan Bin Abdullah, Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Rawai beserta penduduk setempat.
Oleh : Azlan Zulhisham Bin Mansor |


